Sunday, August 12, 2012

Malam Lailatul Qadar

Assalamualaikum..
Diam tak diam kita dah masuk ke 10 akhir Ramadhan. Ramadhan dan nak meninggalkan kita semua untuk tahun ini, hari ni saya nak kongsi sedikit info tentang Malam Lailatul Qadar. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk kita semua..

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat. Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3.

Maksudnya:

"Malam Lailatul - Qadar lebih baik daripada seribu malam."


Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadardengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi S.A.W.:

Maksudnya:
"Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu."

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah R.A bahawa Rasulullah S.A.W apabila tiba 10 hari terakhir bulan ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan:

Maksudnya:
"Rasulullah S.A.W berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain."

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah S.A.W bersabda:

Maksudnya:
"Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil."

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya,

"Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya."

Daripada Riwayat Mu'awiyah:

Maksudnya:
"Bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke 27."

Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar R.A yang berbunyi:

Maksudnya:
"Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27. "

Aisyah R.A bertanya kepada Rasulullah, katanya:
"Ya Rasulullah S.A.W andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan? Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa:
Maksudnya:
"Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku."

Sumber: iluvislam.com

Monday, August 6, 2012

Antara Sifat-Sifat Kasih Sayang Rasulullah S.A.W

Assalamualaikum.

Sedikit perkongsian di Bulan Ramadhan yang mulia ni... Selamat Berpuasa semua... Hari ni dah hari ke-18 kita berpuasa.. Semoga kita sentiasa di dalam Rahmat Allah di bulan yang Berkat dan Rahmat ni :-)

Kisah hidup Rasulullah SAW yang menunjukkan betapa tingginya sifat kasih sayang baginda.

1. Pernah seorang Arab Badwi menarik dengan begitu kasar jubah buatan Najran yang kasar kainnya, yang dipakai oleh Rasulullah SAW hingga berbekas leher baginda. Tetapi Rasulullah SAW tidak marah, malah menghadiahkan jubah itu kepada Arab Badwi tersebut.

2. Seorang wanita tua selalu menyakiti Rasulullah SAW dengan meletakkan duri, najis dan lain-lain halangan di jalan yang selalu dilalui oleh Rasulullah SAW. Namun Rasulullah SAW tidak bertindak balas. Pada satu ketika apabila wanita itu sakit, Rasulullah SAW menziarahi dan menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Wanita tua itu terharu dengan kebaikan Rasulullah, lantas memeluk Islam di tangan baginda.


3. Rasulullah SAW pernah dilihat oleh para Sahabatnya mencium anak kecil, lantas seorang Sahabat menegurnya, “Engkau mencium anak kecil, ya Rasulullah?” Kerana pada sangkaannya Rasulullah tidak pernah mencium anak kecil. Baginda mengiyakan lantas bersabda, “Barang siapa tidak mengasihi, dia tidak akan dikasihi.”

4. Rasulullah SAW sangat mengasihi Sahabat-sahabatnya. Jika seorang Sahabat sudah dua tiga hari tidak kelihatan, baginda akan bertanya, “Ke mana perginya si polan si polan itu…”

5. Jika ada orang yang meminta tolong pada Rasulullah SAW, tidak pernah baginda tidak menunaikannya. Baginda sangat prihatin dan amat mengambil berat kesusahan orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menunaikan satu hajat saudaranya, akan ALLAH tunai 70 hajatnya.”

6. Pernah satu ketika seorang Arab Badwi kencing di satu sudut dalam Masjid Nabi. Ada di antara para Sahabat marah kerana sikap tidak beradab itu. Tetapi Rasulullah SAW tetap tenang dan berkata, “Biarkan dia menyelesaikan hajatnya…” Setelah lelaki tersebut selesai, Rasulullah SAW sendiri membasuh najis itu dan kemudiannya barulah memberitahu Arab Badwi tersebut adab-adab di dalam masjid.

7. Ketika Rasulullah SAW berdakwah dengan anak angkatnya Zaid bin Harisah di Thaif, baginda telah dibaling dengan batu oleh kanak-kanak dan pemuda-pemuda nakal yang disuruh berbuat begitu oleh penduduk kota tersebut. Akibatnya, lutut Rasululah SAW telah berdarah. Melihat penganiayaan itu, malaikat sangat marah sehingga menawarkan untuk menghempap penduduk Thaif dengan bukit-bukit sekitar bandar itu. Tetapi Rasulullah SAW menolaknya dan berkata, “Jangan, mereka tidak tahu saya ini rasul-Nya.” Malaikat menjawab: “Tuan benar.” Selepas itu baginda terus berdoa untuk penduduk Thaif: “Ya ALLAH berilah petunjuk bagi kaumku, mereka tidak mengetahui.”

8. Pernah seorang Sahabat duduk secara menghimpit paha atas paha dengan Rasulullah SAW. Baginda membiarkannya sahaja untuk menjaga hati Sahabat tersebut supaya tidak menganggap yang Rasulullah SAW tidak sudi duduk bersamanya.

9. Sewaktu hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW telah dikejar dengan kuda oleh seorang bernama Suraqah yang bercita-cita merebut hadiah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy Makkah jika berjaya membunuh Rasulullah SAW. Setiap kali kuda Suraqah mendekati Rasulullah SAW, setiap kali itulah kudanya tersungkur jatuh. Rasulullah SAW tidak bertindak apa-apa. Rasulullah memaafkannya. Akhirnya Suraqah menyerah dan berjanji tidak akan cuba membunuh Rasulullah SAW lagi.

10. Satu ketika seorang musuh bernama Da`thur mendapati Rasulullah SAW sedang berehat di satu batu. Dia terus melompat dan meletakkan pedangnya di leher Rasulullah SAW dan berkata, “Siapa yang akan menyelamatkan nyawa kamu dan tanganku?”

Rasulullah SAW spontan menjawab, “ALLAH!”

Mendengar jawapan Rasulullah itu, Da`thur menggeletar hingga pedangnya jatuh daripada tangan.
Rasulullah SAW mengambil pedang itu dan bertanya, “Kali ini siapa yang akan menyelamatkan kamu dari tanganku?”

Da`thur tergamam dan menjawab, “Tiada siapa.”
Akhirnya Rasulullah SAW memaafkan Da`thur. Melihat kasih sayang yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu, Da`thur pun mengucap dua kalimah syahadah (masuk Islam).

WALLAHUALAM

Wednesday, August 1, 2012

Kelebihan Bulan Ramadhan



Assalamualaikum..
Selamat berpuasa semua. Hari ni saya nak kongsi tentang kelebihan bulan Ramadhan, sekarang kita dah masuk fasa 10hari  ke-2 ramadhan. Rasanya ada masa lagi nak kongsi tentang ni..

Nabi bersabda, "Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika dijauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim no: 233)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa sempat bertemu bulan Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauhlah dia dengan Allah" (HR Ibn Hibban)

Nabi saw. bersabda, "Telah datang kepadamu Ramadhan , bulan berkah, Allah mewajibkan kamu berpuasa, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu Neraka ditutup, syaitan diikat, dan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. (HR Imam Ahmad dan Imam Nasa’i)

Nabi saw. bersabda, "Apabila tiba bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu rahmat." (HR Muslim)

Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampun oleh Allah.” (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Apabila datang bulan Ramadhan , kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji." (HR Bukhari)



Firman Allah, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam al-Qadar. Apakah yang kebesaran yang terdapat pada malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlaku pada
tahun berikutnya. Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar." (al-Qadr:1-5)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa bersolat pada malam Ramadhan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampun dosa-dosanya yang lalu." (HR Muslim)


Wallah hualam..