Sunday, November 3, 2013

Darah Nifas Keluar Lebih Dari 40 hari

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Telah menjadi kebiasaan bagi wanita yang melahirkan anak akan diikuti dengan keluar darah dalam tempoh tertentu. Inilah yang dikenali dengan post-natal bleeding atau darah nifas. Nifas dari segi bahasa berasal daripada perkataan “na fi sa” yang bermaksud melahirkan. Darah nifas dari segi etimologi ialah darah yang keluar dari rahim wanita sesudah bersalin. Pastinya saat melahirkan anak ini adalah waktu yang paling gembira untuk setiap wanita, kenapa tidak kerana dengan kelahiran anak ini akan mengertkan lagi ikatan percintaan antara suami,isteri dan juga anak tersebut.

Tempoh Nifas
Bila bermulanya darah nifas? Menurut mazhab Syafi’i, darah nifas ialah darah yang keluar setelah melahirkan. Sekiranya bayi masih belum keluar kesemuanya, maka belum lagi dikatakan darah yang keluar ialah darah nifas tetapi dianggap darah penyakit. Oleh sebab itu, sekiranya wanita yang belum melahirkan tetapi amat sukar menunaikan ibadah solat disebabkan sakit melampau dan sebagainya, maka hendaklah dia melaksanakan solat sambil baring atau sekadar yang termampu

Darah nifas wanita selepas bersalin
Darah nifas wanita selepas bersalin
Ulama sepakat mengatakan bahawa tiada tempoh minimum bagi nifas, walaupun sekadar satu titik darah sahaja yang keluar atau sedetik, tetap dikira darah nifas. Namun mereka berselisih pendapat dalam menentukan tempoh maksimum bagi nifas. Perselisihan tersebut boleh dibahagikan kepada dua pendapat seperti berikut:
1. Jumhur ulama mengatakan bahawa tempoh maksimum ialah 40 hari berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.ha., beliau berkata: “Pada masa Rasulullah, wanita yang melahirkan berhenti nifas setelah 40 hari.” (Riwayat Abu Daud)
2. Sekiranya seseorang wanita itu mengalami nifas dalam tempoh 40 hari, maka itu adalah darah nifas. Namun jika darah masih keluar selepas tempoh 40 hari, maka itu bukan lagi darah nifas sebaliknya itu dikira istihadah dan wajib bagi wanita tersebut mandi dan mengerjakan solat seperti biasa.
3. Al-Ja’fariyyah pula berpendapat tempoh nifas yang paling lama ialah 10 hari.
4. Mazhab Syafi’i pula mengatakan bahawa tempoh maksimum adalah 60 hari. Pendapat ini berdasarkan pengalaman dan pengamatan Imam Syafi’i yang mendapati terdapat wanita yang mengalami nifas sehingga menjangkau 60 hari. Hadis Ummu Salamah pula menunjukkan tempoh kebiasaan nifas bagi wanita, bukan tempoh maksimum.
Oleh sebab itu, mengikut pendapat mazhab Syafi’i, wanita yang masih keluar haid selepas hari ke-40 hingga hari ke-60, itu adalah nifas. Namun sekiranya ada darah yang keluar selepas 60, maka itu adalah darah penyakit (istihadah) dan wajib bagi wanita tersebut mandi dan mengerjakan ibadat seperti biasa.
Anas r.a. pula berkata: “Rasulullah telah memberikan waktu bagi wanita yang sedang nifas selama 40 hari kecuali jika wanita tersebut melihat dia telah suci sebelum waktu itu.” (Riwayat Ibn Majah)

Bersalin Caesar
Terdapat sesetengah wanita yang tidak dapat bersalin normal disebabkan komplikasi tertentu sehingga terpaksa dibedah. Dalam kes seperti ini, al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-Ilmiyyah wa al-Ifta’ menyatakan bahawa hukum bagi wanita yang bersalin dengan kaedah Caesar adalah sama dengan wanita yang keluar nifas selepas bersalin normal. Apabila ada darah keluar, maka hendaklah ia meninggalkan solat dan puasa. Sebaliknya andainya tiada darah yang keluar, maka hendaklah ia mandi, mengerjakan solat dan berpuasa seperti biasa. (Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah)

Keguguran
Bagi wanita yang keguguran, jika bayi yang dikandungnya telah cukup sifatnya, darah yang keluar itu adalah darah nifas. Namun sebaliknya, jika janin masih dalam keadaan segumpal darah atau daging, maka darah yang keluar itu hanyalah darah haid.

Tiada nifas
Ulama telah sepakat menyatakan bahawa wajib mandi bagi wanita yang telah kering daripada nifasnya. Cara-cara mandi adalah sama dengan mandi wajib setelah haid yang sedia maklum dalam kalangan wanita. Cuma yang membezakan adalah niat, atau boleh juga berniat dengan niat yang umum iaitu mengangkat hadas besar.
Namun bagi wanita yang mempunyai darah nifas, adakah wajib mandi? Jawapannya ialah ya, wajib bagi mereka mandi wiladah (mandi sebab melahirkan).
Bagi wanita yang bersalin kembar, masa nifasnya dikira bermula daripada kelahiran anak kembarnya.

Darah yang Keluar sebelum melahirkan
Sekiranya ada darah yang keluar sebelum melahirkan, menurut al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-Ilmiyyah wa al-Ifta’, sekiranya darah yang keluar tidak diikuti oleh rasa sakit akibat kontraksi, maka darah tersebut bukan darah haid. Oleh sebab itu, ibadah sepatutnya diteruskan seperti biasa. Namun sekiranya darah yang keluar diikuti oleh kontraksi yang menyebabkan rasa sakit hampir melahirkan, maka darah itu darah nifas. (Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah)

Keadaan-keadaan Nifas
1. Wanita yang mengalami nifas kurang daripada tempoh 60 hari (mengikut mazhab Syafi’i) dikira nifas. Apabila didapati darah telah berhenti sebelum 60 hari, maka janganlah tergesa-gesa mandi melainkan telah pasti tiada darah yang keluar.
2. Wanita yang mengalami nifas lebih daripada 60 hari secara terus-menerus. Maka dalam tempoh 60 hari itu dikira nifas. Darah yang keluar selepas 60 hari itu merupakan darah penyakit (istihadah).
3. Darah nifas terputus-putus. Keadaan ini dialami oleh sesetengah wanita yang mengalami nifas untuk beberapa hari, berhenti beberapa hari dan kembali keluar dari lagi kemudiannya. Oleh itu, sekiranya darah yang keluar itu dalam tempoh 60 hari, maka darah yang keluar setelah berhenti seketika itu tetap darah nifas.

Hukum-hukum bagi wanita yang berada dalam keadaan nifas.
Hukum wanita yang dalam keadaan nifas adalah sama seperti wanita yang berada dalam keadaan haid. (Rujuk Solusi isu 12)
Suami tidak boleh menggauli isterinya selama mana isteri masih dalam nifas. Namun bagi suami yang tetap menggauli isterinya dalam tempoh itu, tiada kafarah dikenakan sebagaimana yang ditetapkan terhadap suami yang menggauli isterinya semasa bulan Ramadan.
sumber: SOLUSI

PS: Jauhi Merokok Bagi Wanita Mengandung.


No comments:

Post a Comment