SAAT sukar pernah ditempuhinya apabila rumah tangga yang dibina puluhan tahun dilanda badai pada lewat 1990-an. Apabila merenung mata anak, wanita berasal dari Parit, Perak ini bertekad untuk bangkit melawan takdir.
Ketika itu juga, beliau diuji dengan kesakitan teruk, disyaki angkara sihir, dan tekanan dalam perniagaan sehingga menduga kewibawaan dirinya.
Pernah bertanyakan kepada Pencipta, mengapa perlu melalui kesakitan yang perit sedangkan dirinya tidak sekuat mana. Namun, tiada istilah putus asa dalam kamus hidupnya menyebabkan beliau bangkit melawan dugaan ini.
Prof Dr Rozieta Shaary, 53, berkata petunjuk daripada Allah sangat hebat apabila dia bermimpi menyaksikan orang ramai memenuhi ruang sambil menyaksikan kepetahan seorang wanita berucap di pentas dan setiap ucapannya menjadi perhatian.
Dalam mimpi itu, beliau teringin melihat wajah wanita yang berucap dan terkejut mendapati ia mirip dirinya. Ternyata mimpi itu menaikkan semangatnya untuk menceburi perniagaan berasaskan bidang motivasi dengan menonjolkan nilai kasih sayang sebagai aspirasi.
Hari ini, sesudah lebih 20 tahun, beliau masih terkenang
kegigihan lima anaknya yang pernah menjual aiskrim dan air tin untuk membeli buku dan belanja sekolah.
Terbukti pengorbanan diri dan anggota keluarganya berbaloi, terutama selepas beliau memperoleh pentauliahan sebagai pakar dalam ‘Neuro Semantics and Neuro Linguistic Programming’ (Practioner NLP).
Berkelulusan doktor falsafah dalam kajian pembangunan sosial dan modal insan dari Universiti Camden, Amerika Syarikat, wanita ini berjaya melahirkan ribuan pakar dalam program pembentukan kecemerlangan diri bagi golongan korporat dan pelajar.
Antara kemahiran dimanfaatkannya ialah teknologi terkini dalam komunikasi seperti accelerated learning, subliminal dynamic, neuro-linguistic programming, sains minda dan sains tenaga hingga menjadikan program kendaliannya ceria tetapi berkesan, dinamik dan kaya dengan ilmu.
Rozieta mengakui, bukan mudah untuk berada pada tahap sekarang jika tidak memiliki kekuatan tersendiri kerana ada banyak syarikat motivasi hebat di negara ini.
Pun begitu, beliau bertuah kerana suaminya sanggup berhenti kerja dan menyertainya membangunkan perniagaan itu dan pasangan ini turut mendapat kepercayaan syarikat korporat dan jabatan kerajaan.
Antara syarikat dan agensi yang pernah mendapatkan khidmat syarikatnya ialah Perodua, Proton, Esso, Shell, Sime-Darby, Puspakom, Petronas, Telekom Malaysia dan Jabatan Pembangunan Wanita.
“Pendekatan yang kami gunakan unik tetapi memberi impak besar kepada golongan korporat, ibu bapa dan pelajar sama ada melalui kursus, seminar mahupun penulisan kerana saya sendiri memperkenalkan elemen ‘
kasih sayang’ sebagai elemen paling berkesan.
“Tidak dinafikan, pelaburan di bidang intelektual bukan mudah seperti tanggapan segelintir pihak kononnya golongan seperti kami hanya menjual ‘air liur’.
“Sebenarnya, untuk muncul sebagai penceramah atau pakar motivasi, ia memerlukan ilmu untuk membangun potensi diri supaya muncul sebagai modal insan yang akhirnya mampu memberi sumbangan besar kepada negara.
“Untuk itu, saya menggunakan pendekatan ‘UQ’ iaitu darjah sejagat bersifat universal dan kesatuan merangkumi tahap kebijaksanaan minda, emosi serta aspek ketuhanan.
“Saya cuba menerapkan mesej
kasih sayang sebagai medium teragung untuk memberi kesedaran dan penyatuan dengan merujuk kepada Allah sebagai pencipta alam,” katanya.
Rozieta berkata, dalam soal perniagaan, manusia tidak seharusnya mencari untung semata-mata, sebaliknya perlu menerap elemen sebagai ‘katalis’ atau penambahbaikan yang mempunyai kaitan antara hidupan dengan alam.
Sebagai contoh, katanya, bahan pencemaran dibuang ke sungai atau laut akan dimakan hidupan sebelum dinikmati manusia sebagai sumber makanan. Akibatnya, manusia menerima padah kerana kehadiran toksik dalam hidupan.
Penulis buku ‘Raising Happy Kids’ ini mengakui pada awal pembabitannya dalam bidang berkenaan, beliau melaluinya sendirian dengan serba kepayahan. Suaminya ketika itu masih bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat.
Namun, berkat kesungguhannya membuatkan syarikatnya, AL Advancement of Human Potential Sdn Bhd yang beroperasi di Kota Damansara, Selangor sering dijemput mengadakan ceramah di majlis atau seminar.
Selain menjadi kolumnis majalah dan akhbar, beliau sering muncul dalam program radio dan televisyen.
Melihatkan kesungguhan membangun syarikat, suaminya meninggalkan kerjaya asal untuk menyertainya bagi mengukuhkan syarikat pada 1999.
Lebih manis lagi, tiga daripada lima anaknya, Sumayyah, 31, memiliki ijazah dalam bidang perniagaan dan pemasaran dari universiti di Australia; Shaimaa, 30, graduan dalam bidang montessori dari United Kingdom; Umair, 29, berkelulusan kejuruteraan elektrik di Jepun membantu melonjakkan perniagaan itu secara kolektif.
Hanya anak keempat, Anas, 27, bekas penuntut bidang rekaan grafik di Universiti Putra Malaysia (UPM) bertugas di tempat lain manakala si bongsu, Sofiyyah, 16, masih menuntut di tingkatan empat.
“Yang membanggakan, menantu kami turut membantu perniagaan dengan kepakaran masing-masing.
“Berkat kesatuan hati didorong
kasih sayang keluarga, kami berjaya mencanai nilai positif yang kemudian diterapkan dalam kehidupan sebelum dipraktikkan kepada orang ramai,” katanya.
PROFIL:
NAMA:
Prof Dr Rozieta ShaaryJAWATAN: Pengarah Eksekutif AL Advancement of Human Potential Sdn Bhd
ASAL: Parit, Perak
SUAMI: Mohd Marzuki Mohamed
PENDIDIKAN: Ijazah Kedoktoran Kajian dan Pembangunan Sosial, Universiti Camden, Amerika Syarikat
Temui
Prof Dr Rozieta Shaary di
Konvensyen MEGA Ibu Bapa Penyayang 2013. Maklumat Konvensyen boleh rujuk
disini >> Konvensyen MEGA Ibu Bapa Penyayang 2013sumber:
hmetro